Isytihar Belaga sebagai Bahagian Ke-13, Resolusi PKR Hulu Rajang

Abun Sui Anyit

KUCHING, 26 April: Mesyuarat Agung Tahunan PKR Cabang Hulu Rajang semalam telah mencapai tiga resolusi.

Menurut ketuanya Abun Sui Anyit, dua resolusi adalah berkaitan perkembangan isu nasional dan satu berkaitan isu tempatan.

“Pertama, PKR (Parti Keadilan Rakyat) Hulu Rajang menyokong penuh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri Malaysia yang ke–9.

“Kedua, PKR Hulu Rajang meminta agar parti menolak kerjasama dengan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir (Mohamad) yang dilihat sebagai penghalang utama menghalang atau tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Ketiga, PKR Hulu Rajang menggesa agar Kerajaan Sarawak menaik taraf Daerah Belaga menjadi Bahagian Ke–13 Sarawak sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri Sarawak yang ke-11 ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Abun, hasrat tersebut dapat dicapai jika rakyat memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) memerintah Sarawak selepas Pilihanraya Negeri Sarawak ke–12 ini.

Katanya, PKR Hulu Rajang akan meminta Kerajaan PH Sarawak agar segera mengisytiharkan Belaga sebagai Bahagian Sarawak yang ke-13.

Mesyuarat Agung Tahunan tersebut telah diadakan pada di Pusat Khidmat Rakyat parti di Sungai Asap dan dibuka untuk dihadiri oleh ahli-ahli PKR Cabang Hulu Rajang secara maya melalui aplikasi Zoom. — DayakDaily