Oleh Chris Bishop
LUBOK ANTU, 30 Mac: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menasihati penduduk Lubok Antu untuk tidak mempercayai hasutan pihak pembangkang khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal tiba.
Katanya, isu tiada pembangunan yang dibawa oleh pihak kerajaan yang sering dimainkan merupakan satu hasutan semata-mata demi kepentingan politik pembangkang.
“Orang sedemikian menurut Tok Nan (Pehin Sri Adenan Satem), ada mata buta ada telinga bengal.
“Dahulu (50 tahun dahulu) kita tiada empangan tetapi sekarang kita sudah memiliki kuasa elektrik termasuk Empangan Bakun telah kita
ambil.
“Semua ini (pembangunan) memerlukan masa, jangan dengar hasutan pembangkang ini,” kata Abang Johari pada Majlis Merarau di Dewan Sukan Lubok Antu di sini, hari ini.
Terdahulu beliau telah melakukan lawatan Kerja ke Komplek Kastam, Imigresen dan Kuarantin(CIQ) Lubok Antu dan Waterfront Lubok Antu.
Tambah Abang Johari, Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah rakan kongsi Perikatan Nasional (PN), namun tidak menyertai PN.
Oleh itu katanya, Sarawak berkuasa menentukan dasarnya dalam usaha membangunkan negeri mengikut acuan sendiri dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperjuangkan.
Dalam pada itu, Adun Batang Ai Datuk Malcolm Mussen pada ucapan aluan turut menyeru rakyat agar tidak terpedaya dengan hasutan pembangkang yang menyatakan tiada pembangunan selama 50 tahun selepas merdeka.
“Jika ditinjau dari sudut sejarah, tanpa mengira negara atau kerajaan, setiap projek pembangunan memerlukan masa untuk menyediakan dana, perancangan, rekabentuk dan pelaksanaan mengikut prosedur kewangan yang ditetapkan.
“Wang kerajaan tidak seperti duit sendiri yang dapat dibelanjakan sewenang-wenangnya.
“Kita perlu ada perancangan terperinci mengikut keutamaan dan keupayaan organisasi,” ujar Mussen.- DayakDaily