“Isu pemandu mabuk: elak salah faham”- PAS Sarawak

Zharudin Narudin
Advertisement

KUCHING, 29 MEI: PAS Sarawak berkata bahawa parti itu menghormati hak bukan Islam di Sarawak di mana arak digunakan dalam sesetengah acara atau perayaan mereka, kata ketua penerangan PAS Sarawak Zharudin Narudin.

Jelasnya, arak yang menjadi penyebab individu mabuk dan mengakibatkan kematian bukan perkara baharu.

“Di seluruh dunia, kerajaan telah berusaha untuk menangani kes pemandu mabuk. Oleh yang demikian PAS Sarawak menyokong kenyataan Ketua Penerangan PAS agar kerajaan segera mengatasi masalah pemandu mabuk.

Advertisement

“Dari satu sudut pula PAS Sarawak sangat menghormati hak bukan Islam di Sarawak di mana arak digunakan dalam sesetengah acara atau perayaan mereka,” kata Zharudin hari ini.

Bagaimanapun, dia berkata, isu tersebut mempunyai dua perkara berbeza tetapi berkaitan yang perlu difahami agar tidak ada polemik terutama ketegangan kaum dan salah faham agama.

“Dua perkara tersebut adalah, bagi umat Islam ianya jelas bahawa arak adalah haram.

“Namun, tiada halangan bagi bukan Islam untuk melakukan aktiviti yang berkaitan arak sebagai hak mereka dengan tidak melibatkan orang Islam.

“Tetapi jika justifikasi hak kemanusiaan digunakan sehingga tiada pembelaan kepada mangsa terutama keluarga si mati, ia juga pelanggaran hak asasi seorang individu untuk mendapatkan keadilan dari sudut undang-undang.

“Perkara kedua adalah, penyelesaiaan sepatutnya ditumpukan kepada menyelesaikan masalah pemandu mabuk yang membawa kes maut dan langkah pencegahan kepada terjadinya kes tersebut tanpa prejudis kepada soal melanggar hak kepelbagaian kaum yang langsung tiada kaitan dalam isu ini,” katanya.

Tambah Zharudin lagi, semua pihak perlu bekerjasama dengan kerajaan untuk memberi cadangan yang bertunas agar kes pemandu mabuk ini dapat dikurangkan serta dihentikan.

“Jika semua pihak menggunakan ruang untuk mengambil kesempatan dengan mewujudkan ketegangan kaum, salah faham agama terutama agama Islam, bukan sahaja perkara ini tidak selesai malah keadaan akan menjadi lebih buruk dari masa ke semasa dan sekali lagi berapa ramai keluarga mangsa kepada pemandu mabuk ini yang akan menanggung derita hanya semata-mata tiada halangan atau sekatan kepada individu yang mengambil arak secara berlebihan dan melampaui batas,” katanya.

Menurut Zharudin lagi, di negara-negara seperti Australia, New Zealand, Jepun, negara-negara Nordic dan negara maju yang lain telah gigih membuat kajian serta langkah pencegahan dan pemulihan.

“Sedang negara kita ada parti dan ahli politiknya serta individu kumpulan tertentu yang jauh terkebelakang dengan mencipta polemik kebencian fahaman serta kerukunan antara kaum dan agama.

“Di negara-negara terbabit telah berjaya mengurangkan kes kemalangan yang disebabkan oleh pemandu mabuk dengan solusi pencegahan dan mendidik. Kerana dua perkara ini sahaja yang akan membawa kepada kelangsungan kehidupan manusia yang lebih sejahtera agar kematian yang dicipta dari kelalaian sendiri tidak terus berlaku,” katanya.

Oleh yang demikian, PAS Sarawak mencadangkan agar pihak kerajaan segera menengani isu pemandu mabuk dengan antara lain: memperketatkan garis panduan kepada pusat hiburan, hotel atau premis tertentu yang menghidangkan arak untuk membuat Breath Testing (BT) samaada dengan mobile atau alatan berteknologi yang boleh menyemak Blood Alcohol Concentration (BAC) di pintu masuk dan keluar premis seria ‘random BT’ di premis tersebut.—DayakDaily

Advertisement