KUCHING, 28 Jan: Adun Bukit Assek Joseph Chieng yakin isu kekurangan gas Petros di Sibu bakal selesai tidak lama lagi.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), penduduk di Sibu mengalami kesukaran untuk membeli silinder gas merah Petros dengan silinder kuning kosong sejak akhir-akhir ini.
Jelas Chieng, beliau telah mengadakan dialog segera dengan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Julaihi Narawi dan Ketua Pegawai Eksekutif PetrosNIAGA Sdn Bhd Charles Balang mengenai cabaran besar dihadapi penduduk zon tengah dan penyelesaiannya.
“Penduduk Sibu dinasihatkan supaya tidak panik susulan kekurangan bekalan silinder gas merah Petros di zon tengah kini kembali normal.
“Bagaimanapun, peniaga bersetuju menghantar 4,200 silinder gas sehari bermula Isnin minggu depan (29 Januari) dan seterusnya,” katanya dalam sidang media semalam.
Chieng dalam pada itu berharap agar masalah kekurangan tong gas merah Petros tidak lagi menjadi isu bagi zon tengah semasa perayaan akan datang. — DayakDaily