This Content Is Only For Subscribers
SERIAN, 21 Sept: Seorang wanita maut, manakala suaminya parah selepas motosikal dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah kereta di Kilometer 63 Jalan Kuching-Sri Aman awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata mangsa, 58 tahun semasa kejadian bersama suaminya, 72 tahun menaiki motosikal sekitar jam 6.45 pagi.
Katanya, dipercayai mereka telah dilanggar sebuah kereta sehingga menyebabkan kedua-dua mereka tercampak dari atas motosikal.
“Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh suami isteri terbabit secara tiba-tiba menukar lorong dari kiri ke kanan.
“Akibat jarak yang dekat, motosikal tersebut telah dilanggar oleh kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Akibat perlanggaran tersebut, si suami mengalami cedera di kepala dan parah di tangan.
“Manakala si isteri mengalami kecederaan parah di tengkuk serta tangan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Serian,” katanya.
Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Serian untuk tindakan selanjutnya.
Sementara pemandu kereta dilaporkan tidak mengalami kecederaan.
Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. ā DayakDaily