SIBU, Dis 13: Malang menimpa seorang isteri apabila dia maut selepas kereta yang dinaiki bersama suaminya merempuh belakang sebuah jentolak di Jalan Sungai Bidut di sini awal hari ini.
Kemalangan kira-kira pukul 5.15 pagi itu, mengakibatkan mangsa, Hii Kee Chuo, 66, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala dan badannya.
Manakala, suaminya, Henry Yu Yiong Hway, 66, pula dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zailani Amit berkata, ketika kejadian, pasangan suami isteri terbabit dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Sungai Bidut menuju ke Jalan Sungai Merah di sini.
Menurut beliau, sebaik tiba di tempat kemalangan, kereta Perodua Myvi yang dipandu Henry dikatakan tiba-tiba merempuh belakang sebuah jentolak yang bergerak di laluan sama.
“Rempuhan kuat tersebut telah mengakibatkan, bahagian depan kereta berkenaan remuk dan kedua-dua mangsa tersepit di tempat duduk masing-masing,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Zailani menambah, pihak Bomba terpaksa dihubungi untuk mengeluarkan kedua-dua pasangan suami isteri tersebut.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat, suaminya turut dihantar ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 6.07 pagi.
Katanya, sejurus menerima laporan insiden, lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kemalangan.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati pasangan suami itu masih tersepit dalam kereta.
“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa sebelum si isteri disahkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya,” katanya. — DayakDaily