IPD Kuching tubuh ‘Emergency Response Team’ untuk Op Selamat Hari Raya

PDRM logo

KUCHING, 20 April: Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching mewujudkan Emergency Response Team untuk Op Selamat 20 sempena Hari Raya Aidilfitri 2023.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata pasukan tersebut akan memantau serta mengambil tindakan segera sekiranya berlaku kesesakan lalu lintas.

“Tumpuan akan diberikan di lokasi-lokasi yang menjadi tumpuan ramai dan dijangka akan berlaku kesesakan di sekitar pusat beli membeli belah serta laluan utama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Katanya, laluan utama yang diberi perhatian ialah Jalan Kuching Samarahan Eskpresway, Jalan Tun Jugah, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Jalan Tun Abang Haji Openg, Jalan Tun Razak, Jalan Satok, Jalan Lapangan Terbang, Jalan Gambier dan Jalan Main Bazaar.

IPD Kuching melaksanakan Op Selamat selama lapan hari bermula 20 sehingga 27 April 2023.

Objektif utama adalah untuk memberi tumpuan kepada kelancaran lalulintas, pencegahan kemalangan jalan raya serta pecah rumah. — DayakDaily