KUCHING, 23 Mei: Seramai 14 individu ditangkap terlibat kegiatan perjudian dalam beberapa siri serbuan di sekitar bandaraya ini sehingga semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Supt Merbin Lisa berkata terbaru pihaknya menahan enam lelaki ditangkap ketika sedang leka bertaruh judi lumba kuda dalam satu serbuan di pasar Kenyalang Park, di sini.
Jelasnya serbuan ‘Ops Dadu’ oleh Cawangan D7 (Perjudian/ Kongsi Gelap/ Maksiat) Bahagian Siasatan Jenayah Daerah, IPD Kuching itu dilakukan pada jam 2.40 petang.
Semua yang ditahan berusia 47 hingga 64 tahun.
“Semasa operasi dijalankan, beberapa rampasan turut dilakukan seperti tiga unit telefon bimbit dan buku tercatit angka-angka disyaki pertaruhan haram judi lumba kuda.
“Kesemua saspek yang ditangkap akan direman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953 dan jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM200,000 dan dikenakan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, keenam-enam lelaki tersebut turut dikenakan tindakan kompaun kerana melakukan kesalahan di bawah Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Bawah Kawasan Tempatan Jangkitan)(No. 4) 2021 kerana tidak mematuhi Arahan Ketua Pengarah (gagal memastikan penjarakan fizikal).
Sementara itu, dalam operasi yang dijalankan sepanjang minggu iaitu dari tarikh 17 hingga 22 Mei, pihak polis telah berjaya menahan lapan individu iaitu tujuh lelaki tempatan dan seorang wanita warga Indonesia berusia antara 21 hingga 36 tahun serta merampas wang tunai berjumlah RM1,787 dalam lapan serbuan membanteras kegiatan perjudian dalam talian.
Dedah Merbin, tangkapan dibuat di rumah kediaman, hadapan premis kedai kopi dan kedai serbaneka 24 jam di sekitar kawasan Gita, Santubong dan Sekama.
Beliau berkata kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Bagi kesalahan ini, ianya memperuntukkan hukuman denda RM5,000 hingga RM50,000 dan hukuman penjara hingga tiga tahun jika sabit kesalahan,” katanya.
Selain itu, Operasi Bersepadu oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching dan kakitangan Sarawak Energy Berhad, akan dijalankan secara berterusan di sekitar kawasan Kuching bagi premis-premis degil seperti kedai runcit, kedai makan dan rumah persendirian yang terlibat/membenarkan kegiatan judi atas talian tanpa lesen beroperasi. — DayakDaily