Institusi TVET diminta memperluaskan penggunaan Bahasa Inggeris

Abang Johari (empat dari kanan) merasmikan 'TVET Symposium 2019' anjuran PPKS dan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan semalam (Feb 19, 2019).
Advertisement

KUCHING, Feb 20: Kerajaan negeri meminta institusi Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) di negeri ini supaya memperluaskan penggunaan Bahasa Inggeris dalam memberikan TVET kepada golongan belia di institusi mereka.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata ini penting kerana manual bekerja dan manual penggunaan peralatan industri ketika ini kebanyakkanya ditulis dalam Bahasa Inggeris dan graduan institusi TVET dikhuatiri menghadapi kesukaran bekerja dengan industri sekiranya tidak fasih bahasa itu.

“Sehubungan itu , tidak kiralah samada kamu (institusi TVET tempatan) suka atau tidak, kamu mahu menjadi patriotik atau tidak, Inggerislah bahasanya (perlu diperluaskan dalam latihan TVET),”katanya ketika menghadiri dan merasmikan TVET Symposium 2019 anjuran Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak (PPKS) dan Kementerian Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan, di sini, semalam.

Advertisement

Majlis terbabit juga dihadiri Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi PPKS Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain.

Abang Johari berkata bahasa Inggeris ketika ini digunakan secara meluas seluruh dunia bagi menulis manual penggunaan peralatan berteknologi dan berkomputer sehingga syarikat teknologi dari China termasuk Huawei turut menterjemahkan buku manual produk mereka yang ditulis dalam Bahasa Mandarin ke Bahasa Inggeris.

Malahan bagi mengunakan komputer, i-Pad atau peralatan pintar lain ketika ini orang ramai tidak boleh mengelakkan dan perlu terlebih dahulu merujuk kepada buku manual penggunaanya yang ditulis dalam Bahasa Inggeris.

“Jadi jika kamu (institusi TVET negeri ini) dalam memberikan penekanan kepada TVET, mesti juga menekankan kepada Bahasa Inggeris yang digunakan bagi memahami tentang sains, fizik, kimia dan subjek lain berkaitan teknologi,” katanya.

Sementara itu mengenai jumlah gaji sepatutnya diterima graduan TVET di negeri ini, Abang Johari berkata itu adalah bergantung sepenuhnya kepada pasaran permintaan dan pembekalan tenaga kerja negeri ini.

“Saya bersetuju dengan menteri (kabinet) saya mengenai soalan gaji itu iaitu permintaan dan pembekalan akan menetapkan gaji kamu (graduan TVET) dan ini juga akan berdasarkan kepada bakat dan kepakaran yang dimiliki kamu,”katanya.

Sebelum itu, Manyin dalam ucapannya berkata hasil satu penyelidikan tahun lepas, salah satu cabaran utama pembangunan TVET di negara ini pengunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa perantaraan di institusi TVET.

“Tetapi apabila mereka (graduan TVET) keluar dan bekerja dengan pihak industri, kebanyakan manual kerja mereka adalah dalam Bahasa Inggeris,” katanya, sambil menambah ini menyebabkan pernah berlaku kes graduan berhenti kerja kerana tidak dapat membaca manual kerjanya dalam Bahasa Inggeris.

Selain itu, graduan TVET biasanya akan menjangkakan mereka akan menerima gaji permulaan bekerja yang lumayan mencecah RM1,500 atau RM2,000 sebulan seperti graduan ijazah akademik tetapi sebaliknya menerima gaji lebih rendah dari itu.

“Graduan TVET kemudian mendakwa gaji permulaan mereka terlalu rendah, manakala pihak industri pula tidak mahu membayar gaji dipohon mereka kerana mahu ianya berdasarkan sumbangan dan kemampuan (graduan TVET),” katanya dan berharap symposium terbabit dapat mengemukakan penyelesaian kepada cabaran tersebut. — DayakDaily

Advertisement