KUCHING, April 14: Sebuah sekolah di negeri ini akan dijadikan sebagai perintis bagi penubuhan sebuah bilik darjah teknologi.
Menurut Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Dato Sri Michael Manyin Jawong, inisiatif tersebut adalah untuk membawa perubahan di dalam sistem pendidikan di negeri ini ke arah digital.
Menjelas lanjut, beliau berkata bilik darjah tersebut akan dilengkapi dengan komputer dan tablet untuk kegunaan guru dan pelajar.
“Ini (bilik darjah teknologi) akan dimulakan di satu sekolah dulu dan kalau ia berhasil, kami akan memperluaskan ke sekolah lain,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika melancarkan Karnival Innocate 2018 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang di sini hari ini.
Manyin berkata ilham untuk menubuhkan bilik darjah teknologi itu adalah diperolehi semasa lawatannya ke Beijing, China di mana sebuah sekolah awam di situ telah menyediakan kemudahan teknologi kepada guru dan pelajarnya.
Justeru, katanya adalah tidak mustahil untuk ia boleh dilaksanakan di Sarawak.
Manyin menegaskan usaha untuk menyediakan anak-anak dengan pengetahuan teknologi amat penting kerana ia seiring dengan agenda pembangunan negeri ke arah ekonomi digital, selain membolehkan mereka berhadapan cabaran dalam Industri 4.0.
“Kita sekarang harus melengkapi anak-anak bermula dari prasekolah sehingga ke sekolah menengah dengan pengetahuan di dalam teknologi dan ini bermakna, kita tidak boleh lagi mengajar mengikut cara lama,” katanya.
“Kita perlu mendapatkan anak lelaki dan perempuan dari prasekolah ke sekolah rendah dan ke sekolah menengah yang bersedia menghadapi cabaran yang akan datang.”
Turut hadir ialah pengarah IPG Kampus Batu Lintang, Jamiran Salam. — DayakDaily