Individu tiada dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan layak terima vaksin

Program Mobilisasi vaksin di Rumah Sating Bundan, Bintulu.

KUCHING, 26 Jun: Individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan juga layak untuk menerima suntikan vaksin Covid-19.

Menurut MP Bintulu Dato Sri Tiong King Sing, Kementerin Kesihatan Malaysia (KKM) menggunakan mekanisma khas bagi membolehkan individu terbabit mendaftar selepas menerima suntikan vaksin.

KKM katanya telah berhubung dengan kerajaan negeri mengenai perkara ini sekaligus menyelaraskan kod untuk setiap bahagian mengikut daerah masing-masing.


“Individu terbabit boleh pergi ke mana-mana fasiliti kesihatan atau Pejabat Daerah berdekatan untuk tujuan pendaftaran.

“Individu terlibat hanya perlu memberi nama dan tarikh lahir mereka semasa tampil untuk menerima suntikan vaksin, selepas itu mereka akan diberikan kad yang ada tertera kod bagi kegunaan semasa pendaftaran untuk mendapatkan suntikan dos kedua vaksin.

“Manakala, bagi warga asing pula, mereka juga boleh mendaftar menggunakan passport masing-masing,’kata Tiong pada hantaran di Facebook rasmi beliau hari ini.

Beliau terdahulu(pada semalam) telah mengadakan tinjauan ke program Outreach Mobilisasi Vaksin Covid-19 di Rumah Sating Bundan di KM 67 Jalan Bintulu-Miri.

Program menyasarkan antara 300 hingga 350 penduduk menerima suntikan vaksin daripada pasukan Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu.

Jelas Tiong, program telah mendapat sambutan positif daripada penduduk dan masalah telekomunikasi adalah merupakan faktor utama mendorong diadakan program seumpama di rumah panjang terbabit.

“Pejabat Kesihatan Daerah Bahagian Bintulu juga telah mengenalpasti beberapa lokasi bagi penganjuran program yang sama.

“Ini selaras dengan hasrat untuk mencapai 80 peratus rakyat negeri ini menerima suntikan vaksin pada Ogos depan,’ujar Tiong.

Bagi memastikan kelancaran program Outreach Mobilisasi vaksin Covid-19 ini, tiga akses telah digunakan untuk memberi suntikan vaksin kepada penduduk di kawasan pedalaman iaitu menggunakan jalan darat, Jalan air dan perkhidmatan udara(khusus untuk lokasi tertentu). — DayakDaily