Imuniti kelompok dipercepatkan dengan 16 juta dos vaksin hujung Julai

Dato Sri Fadillah Yusof

KUCHING, 16 Jun: Menteri Kanan Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusof yakin imuniti kelompok akan dapat dipercepatkan dengan peningkatan bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 16 juta dos pada penghujung Julai ini.

Katanya, ia sekaligus dapat menjayakan Strategi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada semalam.

“Dengar kadar vaksinasi telah mencecah 197,963 dos semalam (14 Jun) dan akan dipertingkatkan hingga lebih 300,000 dos sehari.


“Serta peningkatan bekalan vaksin sebanyak 16 juta dos pada hujung Julai ini, imuniti kelompok akan dapat kita dipercepatkan, sekaligus menjayakan pelan ini,”ujar beliau dalam kenyataan hari ini.

Fadillah yang juga MP Petra Jaya mengajak seluruh lapisan masyarakat berganding bahu dan memberi sokongan padu bagi menjayakan pelan itu.

Jelas beliau,  ia demi memastikan kemenangan bersama dicapai dalam membawa keluar negara daripada krisis pandemik yang sudah lebih setahun melanda negara.

“Melindungi nyawa dan memastikan kelangsungan hidup rakyat menjadi keutamaan Kerajaan dalam melaksanakan strategi ini.

“Seperti ditegaskan perdana menteri, ia dirangka berdasarkan data dan sains serta indikator tertentu,” katanya.

Menurut Fadillah, kini telah nampak tanda-tanda penurunan jangkitan sejak PKP 3.0 dilaksanakan.

Namun ujar beliau,  masyarakat tidak harus sama sekali lalai, sebaliknya perlu terus mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. — DayakDaily