KUCHING, 10 Dis: Sebanyak enam tadika dan taska swasta berdaftar di Sarawak sudah memutuskan untuk berhenti beroperasi mulai Januari tahun hadapan akibat pandemik Covid-19.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata enam taska dan tadika swasta terbabit kebanyakannya terletak di bahagian Kuching dan antara keseluruhannya 495 taska dan tadika swasta berdaftar di seluruh negeri ini.
“Setakat ini, kami tahu ada enam taska dan tadika swasta memutuskan menutup operasi mereka, namun kami hanya akan tahu jumlah sebenar mereka (yang memutuskan menutup operasi) pada Januari tahun hadapan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS) dan menyampaikan hadiah pertandingan Sarawak Preschool Kids Got Talent 2020 di Bangunan Baitulmakmur II, Petra Jaya, di sini, hari ini.
Fatimah berkata pengusaha enam tadika dan taska itu membuat keputusan itu disebabkan pendapatan mereka terjejas dan tidak dapat menampung operasi setelah berkurangnya bilangan kanak-kanak mereka ataupun ibu bapa tidak mahu membayar yuran setelah tidak menghantar anak ke taska dan tadika mereka sejak bermulanya Covid-19 sekitar Mac tahun ini.
Katanya ini walaupun ada bantuan diberi kerajaan kepada pengusaha taska dan tadika swasta di negeri ini bagi membayar upah sebanyak RM1,200 setiap guru untuk tiga bulan dan selepas itu bantuan terbabit dikurangkan menjadi RM600 bagi setiap guru.
“Kami dengar, sebahagian pengusaha enam taska dan tadika swasta terbabit ketika ini sedang berusaha mencari pembeli perkhidmatan mereka dan sekiranya tidak ada menjumpai pembeli terbabit maka menutup taska dan tadika mereka tahun hadapan,” tambahnya.
Katanya sekiranya menutup taska dan tadika swasta, maka pengusahanya perlu melakukan kertas kerjanya bagi diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi taska swasta manakala tadika swasta pula kepada Jabatan Pendidikan Negeri.
Berikutan itu, beliau berharap ibu bapa di negeri ini menghantar anak mereka semula ke taska dan tadika samada swasta ataupun dibawah agensi kerajaan kerana pihaknya sudah memastikan operasi taska dan tadika terbabit mengikut Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) pencegahan Covid-19 yang ketat.
Sementara itu, sekiranya taska dan tadika swasta di negeri ini mahu meningkatkan bayaran yuran kanak-kanak mereka mulai tahun hadapan, Fatimah jelas itu akan bergantung kepada keadaan Covid-19 tahun hadapan samada pandemik terbabit bertambah reda dan semua 40 daerah di Sarawak berstatus hijau. ā DayakDaily