KUCHING, Mei 19: Orang ramai yang mengunjungi Gawai Dayak Bazar 2019 anjuran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) pasti akan tertarik melihat puluhan ikan laga pelbagai jenis yang turut ada di jual di bazar terbabit.
Gawai Dayak Bazar tersebut bertempat di Christian Ecumenical Worship Centre di Jalan Laksamana Cheng Ho di sini dan bermula hari ini sehingga Mei 24 depan, bermula dari jam 3 petang hingga 11 malam setiap hari.
Penjual ikan laga tersebut ialah Elizabeth Sharon, 34, dan gerainya ada ikan laga dari jenis veil tail, spade tail, double tail, round tail, delta, super delta, halfmoon, rose tail, crowntail, combtail, halfmoon plakat dan plakat.
“Saya menjual ikan laga kerana mahu menjual barangan yang berlainan dari peniaga lain di bazar ini dan ini juga hari pertama saya membuka gerai di bazar ini,” katanya.
Elizabeth berkata ikan laga dijualnya pada harga serendah RM8 sehingga RM50 seekor dan sudah siap disimpan dalam bekas plastik bagi mudah dibeli pelanggan.
“Saya ada lebih 200 ekor ikan laga dan sebahagian besarnya dijual di kedai saya yang terletak berhampiran Aiman Mall di Kota Samarahan,” katanya.
Beliau berkata ketika ini kedainya mampu mencatat jualan sehingga RM2,000 sebulan dan mampu menjual ikan terbabit sehingga ke Bintulu kerana jualan yang baik secara atas talian di Sarawak.
“Sehubungan itu, saya ingin mempromosikan jualan ikan laga dari kedai tersebut di bazar ini, supaya dapat meluaskan lagi pasarannya di Sarawak dan selepas ini ke luar negara pula,” katanya yang juga mempunyai kerjaya di sektor pembinaan.
Elizabeth berkata perniagaan menjual ikan laganya dimulakan dua tahun lepas dengan sokongan adik iparnya dan ketika ini kedainya juga sudah mula menghasilkan ikan laga kacukan Thailand dan Indonesia bagi menambah jenis ikan yang dijual.
Disamping itu, beliau juga mendedahkan telah terbabit menubuhkan satu kelab ikan laga tempatan dan sudah menubuhkan ahli jawatakuasanya dan kelab itu hanya menunggu didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan.
Selain ikan laga, tinjuan di bazar terbabit hari ini juga mendapati ramai peniaga menjual minuman tuak termasuk tuak halia dan raginya sera pelbagai jenis pakaian dan perhiasan kaum Dayak. — DayakDaily