Ikan empurau dijual RM1,000 sekilogram di Semenanjung – Fadillah

Fadillah menerima kunjungan rombongan SABERKAS Bukit Goram di Putrajaya.
Advertisement

KUCHING, 10 Ogos: Ikan empurau dijual sehingga mencecah RM1,000 sekilogram di Semenanjung, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), dengan potensi itu, Fadillah menyeru golongan muda di Sarawak untuk menerokai industri penternakan ikan empurau.

Katanya, ikan empurau merupakan spesies ikan termahal di Malaysia dan menerima permintaan yang tinggi selain mampu menjana sumber pendapatan lumayan.

Advertisement

“Generasi muda yang berminat menceburi bidang ternakan air tawar ini boleh bekerjasama atau mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar-pakar daripada institusi pengajian tinggi berkaitan teknik dan teknologi terkini dalam penternakan ikan air tawar seperti empurau.

“Pada masa ini ikan empurau dijual sehingga mencecah RM1,000 sekilogram di Semenanjung,” kata Fadillah.

Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan rombongan ahli-ahli Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Bukit Goram di Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di sini pada Khamis.

Tambah Fadillah, ada empat restoran di Semenanjung yang membeli ikan empurau.

“Namun pada masa ini, bekalan ikan tidak cukup kerana ada pelanggan yang sanggup bayar RM2,000 sehingga RM4,000 untuk menu masakan ikan empurau,” ujar Fadillah.

Mengulas lanjut, Fadillah menjelaskan kementeriannya boleh membantu dari segi menyediakan kemudahan tenaga boleh diperbaharui. — DayakDaily

Advertisement