Identiti mayat lelaki ditemui dalam bagasi disyaki pemilik kedai jahit

Kelihatan beg yang di dalamnya terdapat mayat seorang lelaki.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jul 20: Misteri identiti lelaki yang ditemui mati di dalam sebuah bagasi pakaian di bawah jambatan Kampung Pangkalan Bau semalam hampir diketahui.

Mayat lelaki itu disyaki pemilik salah sebuah kedai jahit pakaian, namun belum ada pengesahan lagi daripada pihak berkuasa berhubung identiti mangsa setakat ini.


Difahamkan sebelum ini, ahli keluarga pemilik kedai jahit tersebut dikatakan telah cuba mengesan mangsa disebabkan dia gagal dihubungi dan tidak pulang ke rumah.

Sementara itu, polis mengesahkan telah melakukan satu tangkapan ke atas seorang lelaki bagi membantu siasatan.

Katanya, ahli keluarga mangsa juga telah melakukan pengecaman ke atas mayat lelaki yang ditemui dalam bagasi pakaian di Hospital Umum Sarawak.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Semalam, penduduk di Kampung Pangkalan Bau di sini gempar dengan penemuan mayat seorang lelaki yang disimpan di dalam sebuah bagasi yang ditemui di bawah jambatan berhampiran kampung tersebut.

Menurut sumber, penduduk kampung telah menemui beg tersebut dalam keadaan terapung dan mencurigakan kira-kira pukul 6 petang.

Katanya, apabila beg itu ditarik ke tebing sungai, didapati terdapat darah keluar dari beg tersebut.

“Panik melihat keadaan itu, penduduk kampung berkenaan kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut

“Pihak bomba juga telah dimaklumkan dengan penemuan beg berwarna hitam tersebut sebelum mereka membawa naik beg tersebut dari sungai dan diletakkan di tebing untuk tindakan selanjutnya,” katanya. — DayakDaily