Ibubapa tunggal dengan tanggungan sah dibayar insentif KIR pada September 2020

File photo for illustration purposes

KUCHING, 25 OGOS: Ibubapa tunggal(IBT) dengan tanggungan yang telah disahkan akan menerima bayaran sepenuhnya insentif Bantuan Khas Sarawakku Sayang(BKSS) Ketua Isi Rumah(KIR) B40 pada bulan September 2020.

Unit Perancang Ekonomi(EPU) menerusi kenyataan hari ini berkata, usaha kini sedang dijalankan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri(LHDN) bagi membuat pengesahan status IBT samada mereka merupakan IBT tanpa tanggungan atau IBT dengan tanggungan.

“Sekiranya mereka merupakan IBT tanpa tanggungan maka mereka hanya menerima insentif BKSS Bujang B40 dan bayaran akan ditamatkan.


“Bagi mereka yang disahkan IBT dengan tanggungan, mereka akan menerima bayaran sepenuhnya insentif BKSS KIR B40 pada bulan September 2020,” katanya.

Oleh yang demikian tambah EPU, dakwaan mengatakan pembayaran telah dibatalkan adalah tidak benar sama sekali kerana IBT dengan tanggungan yang terkesan akan mendapat pembayaran penuh setelah pengesahan status tanggungan dibuat.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa Kerajaan Sarawak telah meneruskan pembayaran BKSS 2020 B40 termasuk penerima tambahan yang layak pada bulan Julai dan Ogos dengan perbelanjaan sebanyak RM319.92 juta.

Katanya, berdasarkan rayuan dan maklumat terkini B40 daripada LHDN terdapat seramai 788,534 penerima yang layak.

“Iaitu peningkatan sebanyak 267,617 penerima atau 51.2 peratus. Bilangan penerima terdiri daripada 369,139 KIR, sejumlah 301,281 Bujang dan 118,114 IBT tanpa tanggungan,” kata EPU.

Kerajaan Sarawak melaksanakan Pakej BKSS 2020 bertujuan untuk mengurangkan beban rakyat dalam menghadapi kesukaran akibat pandemik Covid-19.

Pakej ini telah membantu semua lapisan masyarakat terutamanya golongan berpendapatan rendah atau B40.

“Berdasarkan maklumat KIR B40 daripada LHDN dalam bulan Mac 2020 seramai 406,243 KIR layak menerima insentif kewangan RM250 sebulan untuk enam bulan.

“Mereka telah dibayar pada bulan April hingga Jun 2020 dengan peruntukan sebanyak RM304.68 juta,’menurut kenyataan itu.

Di samping itu kata EPU, Kerajaan Sarawak juga membantu golongan Bujang B40 dalam Pakej BKSS 2020.

Berdasarkan maklumat LHDN bulan April 2020, seramai 114,683 Bujang layak menerima insentif kewangan sekali sahaja iaitu sebanyak RM500 dan telah dibayar pada bulan Mei 2020 dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM57.21 juta.

Secara keseluruhannya, seramai 520,926 penerima insentif BKSS B40 dan Kerajaan Sarawak telah membelanjakan peruntukan sebanyak RM361.89 juta untuk membiayai insentif ini.—DayakDaily