Ibu kepada Eric, antara yang ditahan untuk siasatan

Eric Chang

KUCHING, 11 Mac: Ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun yang dilaporkan hilang di Bintawa merupakan antara dua individu yang ditahan untuk membantu siasatan.

Difahamkan Dynasty Chang, ibu kepada mangsa iaitu Eric Chang Wei Jie ditangkap pada 9 Mac bersama seorang rakannya yang juga merupakan penjaga mangsa.

Sumber turut memberitahu kedua-dua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak.


Semalam Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah mengesahkan pihaknya telah menahan dua individu berhubung kes tersebut.

Katanya juga, operasi mencari mangsa yang turut disertai Unit K9 PDRM bersama ahli keluarga mangsa masih dijalankan.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang dari rumah mereka di Taman Riverview Bintawa di Jalan Daya pada 7 Mac (Isnin) iaitu sekitar jam 7.42 malam.

Mangsa dikatakan memakai baju T round neck berwarna biru gelap dan berseluar pendek paras lutut berwarna hitam.

Untuk sebarang maklumat berkaitan mangsa, boleh disalurkan dengan menghubungi Inspektor Hasmah Abdul Jalil di talian 013-6852210 atau hubungi IPD Kuching di talian 082-244444. — DayakDaily