This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 18 Ogos: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan mengesahkan telah menahan seorang wanita dipercayai ibu kandung bayi yang ditemui di tempat pembuangan sampah di Moyan Square.
Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata suspek merupakan wanita tempatan berusia 22 tahun dan belum berkahwin.
Katanya, tangkapan dibuat oleh anggota dari Balai Polis Batu Kawa kira-kira jam 11.20 pagi.
“Suspek iaitu ibu kandung kepada bayi tersebut telah berjaya dikesan dan kemudiannya dibawa ke Balai Polis untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dihukum pemenjaraan sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu pengurusan bayi tersebut.
“Justeru kita minta agar orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi negatif sehingga boleh menganggu siasatan,” katanya. — DayakDaily