Hujan lebat landa Sarawak bermula Januari 10-12 — NDCC

Amaran cuaca waspada untuk Januari 10-12, 2020.

KUCHING, JAN 7: Beberapa bahagian di Sarawak dijangka mengalami hujan lebat bermula Januari 10 hingga 12.

Ini berikutan amaran cuaca tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia hari ini.

“Hujan lebat dijangka berlaku di Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song) dan Bintulu.


“Kriteria amaran tahap waspada meramalkan hujan berterusan dijangka berlaku dalam tempoh satu hingga tiga hari lagi.

“Atau, hujan berterusan sedang berlaku tetapi belum mencapai tahap hujan berterusan,”menurut kenyataan media Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) hari ini.

Sehubungan dengan itu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengeluarkan notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana ke semua peringkat.

NADMA melalui NDCC akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal.

NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat berkenaan bencana dan bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa melalui nombor telefon 03-80642400, faksimili 03-80635420 dan alamat e-mel opsroom@nadma.gov.my. — DayakDaily