Dr Chin Zin Hing Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak yang baharu

Dr Jamilah(kiri) menyerahkan dokumen kepada Dr Chin sebagai penyerahan simbolik tugas Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak di Kuching.

KUCHING, 7 Jan: Pengarah Hospital Umum Sarawak (HUS) Dr Chin Zin Hing memikul tugas Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak yang baharu menggantikan Dr Jamilah Hashim yang bersara.

Menyifatkan tugas tersebut sebagai tanggungjawab yang besar, Dr Chin yakin dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada semua kakitangan segala urusan akan dapat dilaksanakan.

“Di Hospital Umum Sarawak hanya ada 4,500 kakitangan tetapi sebagai Pengarah Kesihatan Negeri saya ada 26,000 kakitangan di seluruh Sarawak.

“Dengan sokongan dan kerjasama semua, saya yakin segala urusan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.

“Pengalaman sebagai pegawai kesihatan daerah di beberapa bahagian di Sarawak sebelum ini juga akan membantu saya memikul tanggungjawab ini,” katanya.


Dr Chin berkata demikian pada Majlis Penyerahan Tugas yang diadakan di Dewan Serbaguna, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Jamilah pada ucapan perpisahan merakamkan jutaan terima kasih kepada warga kesihatan negeri yang telah memberi kerjasama dan sokongan di sepanjang tiga tahun beliau memikul tugas sebagai pengarah kesihatan negeri. —DayakDaily.

Dr Chin Zin Hing

Share this article!