Hujan lebat berterusan akibat banjir kilat di sekitar Kuching

Kelihatan banjir kilat di Hospital Umum Sarawak.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 22: Hujan lebat yang berterusan selama hampir tiga jam telah mengakibatkan beberapa kawasan rendah di sekitar pusat bandar raya ini terjejas akibat banjir kilat, petang tadi.

Kejadian hujan lebat yang bermula kira-kira pukul 4 itu telah menyebabkan beberapa kawasan iaitu Padang Merdeka, Saujana, Jalan P Ramlee telah dinaiki air sedalam kira-kira 0.6 meter.


Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kawasan yang agak teruk terjejas ialah sekitar Hospital Umum Sarawak.

Kelihatan banjir kilat di Hospital Umum Sarawak.

Katanya, beberapa blok bangunan di hospital berkenaan telah dinaiki air banjir sehingga mencetuskan keadaan panik dalam kalangan petugas hospital, pelawat dan pesakit.

“Meskipun begitu, keadaan terkawal tanpa sebarang insiden yang tidak diingini dan kita berharap air ini akan cepat surut.

“Buat masa ini, kita masih melakukan kerja-kerja pemantauan bagi memastikan masyarakat umum dalam keadaan terkawal dan selamat,” katanya di sini petang tadi.

Kelihatan banjir kilat di Hospital Umum Sarawak.

Tiong menambah, empat pasukan bomba iaitu dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan, BBP Petra Jaya, BBP Batu Lintang dan BBP Tabuan Jaya telah diarahkan ke lokasi berisiko banjir.

Katanya, selain banjir kilat, kejadian pokok tumbang turut dilaporkan berlaku susulan hujan lebat serta angin kuat.

“Kita akan terus membuat pemantauan dari semasa ke semasa serta mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku situasi yang lebih buruk,” jelasnya. — DayakDaily