Hujan lebat akibat tanah runtuh di jalan Rumah Panjang Nanam

Kelihatan tanah runtuh di jalan menuju ke Rumah Panjang Nanam.

Oleh Dean Adam

BETONG, Feb 5: Hujan yang berterusan sejak beberapa hari lepas telah mengakibatkan berlakunya kejadian tanah runtuh di laluan menuju ke Rumah Panjang Nanam, Paku, di sini hari ini.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong, Kapten (PA) Usman Harto berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 11.22 pagi.

Sejurus itu katanya, sepasukan anggota APM telah ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemantauan.

“Apabila tiba, pasukan APM mendapati terdapat kejadian tanah runtuh di bahu jalan menuju ke rumah panjang tersebut.


“Anggota APM kemudian bertindak memasang tanda amaran bagi memastikan keselamatan penduduk rumah panjang dan pengguna jalan raya di situ,” katanya di sini hari ini.

Anggota APM melakukan kerja-kerja memasang tanda amaran.

Usman menambah, pihaknya akan memaklumkan kejadian itu kepada pihak yang berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.20 tengah hari,” ujarnya lagi. — DayakDaily