KUCHING, Jan 7: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Bumiputera Sarawak (Tegas) akan melancarkan pembukaan dua lagi Hub Inovasi Digital Tegas yang baru iaitu masing-masing di Bintulu dan Miri pada Febuari depan.
Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi Tegas, Datu Len Talif Salleh berkata demikian dengan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijangka akan menjadi tetamu kehormat melancarkan dua hub terbabit.
“Dua hub terbabit sudah siap dibina masing-masing di Bintulu dan Miri dan akan dilancarkan Ketua Menteri iaitu di Bintulu pada Febuari 16 depan dan kemudian di Miri dilancarkan hari berikutnya,” katanya ketika acara menyerahkan tapak projek Kampung Digital kepada wakil kontraktornya di Samajaya High Tech Park, di sini, hari ini.
Len Talif berkata ketika ini Sarawak sudah ada dua digital hub itu yang beroperasi dan dikendalikannya bersama Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) iaitu di Kuching dan Sarikei serta pihaknya akan membina lebih banyak lagi hub di bahagian lain negeri ini.
“Kampung Digital itu asalnya dicadangkan Ketua Menteri (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) bagi pengwujudannya tahun lepas dan kerajaan negeri telah memperuntukan sebanyak RM30 juta bagi tujuan itu,” katanya.
Len Talif berkata Tegas telah mengunakan sebanyak RM3 juta peruntukan terbabit bagi membina Hub Inovasi Digital Tegas pertama di iCom Square, Pending yang dilancarkan Ketua Menteri pada Ogos tahun lepas manakala baki peruntukan itu sebanyak RM27 juta adalah bagi membina kampung digital terbabit dalam tempoh 18 bulan bermula hari ini.
“Selepas golongan muda mendapat bimbingan dan pengetahuan berkaitan pengunaan teknologi digital di hub inovasi digital terbabit, mereka kemudian boleh mendapat bimbingan itu bagi peringkat sedikit lebih tinggi di Kampung Digital ini nanti,” katanya.
Menurutnya, bukan sahaja ada segala kemudahan digital terkini, Kampung Digital yang akan dioperasikan Tegas itu juga menyediakan jaringan Internet berkelajuan tinggi dari 150 hingga 200 megabit sesaat (mbps) berbanding 100 hingga 150 mbps di Hub Inovasi Digital Tegas.
Len Talif berkata tapak Kampung Digital ini keseluruhan seluas 20 ekar yang bersebelah kilang LONGi tetapi hanya seluas lima ekar akan digunakan bagi memulakan operasinya dan pihaknya akan memperluaskan kampung ini berdasarkan keperluannya.
Tegas bagaimanapun akan meminta pembinaan kampung terbabit dipercepatkan kontraktornya dan disasarkan disiapkan hanya sekitar 14 bulan atau pada Mac 2020 berikutan pihaknya sudah memaklumkan Ketua Menteri yang kampung itu disasarkan mula beroperasi seawalnya suku pertama 2020. — DayakDaily