168 penghuni rumah panjang Jani di Ulu Mukah hilang tempat tinggal akibat kebakaran


Oleh Dean Adam

MUKAH, Jul 19: Seramai 168 penduduk rumah panjang Kerangan Pasu, Ulu Mukah hilang tempat tinggal selepas kediaman mereka musnah terbakar, semalam.

Kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu menyebabkan 29 pintu rumah jenis kayu terbakar 100 peratus.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, hasil maklumat diperolehi, semasa kebakaran berlaku hanya dua keluarga sahaja yang berada di rumah panjang dan 27 keluarga bekerja di luar kawasan.

Katanya, perjalanan ke lokasi menggunakan jalan kem balak dan ladang sawit mengambil selama 2 jam 30 minit.

“Antara lain, tiada liputan rangkaian telefon sepanjang jalan hingga ke kawasan rumah panjang tersebut,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, apabila tiba di lokasi kejadian, rumah panjang tersebut telah musnah terbakar.

Katanya, pasukan bomba kemudian bertindak membuat siasatan awal berkenaan punca kejadian tersebut.

“Jumlah kerugian akibat kebakaran juga masih dalam proses siasatan,” ujarnya.

Sementara itu, menurut statistik terkini, terdapat sembilan kes kebakaran melibatkan rumah panjang di negeri tahun ini.

“Daripada sembilan kes itu, sebanyak 231 buah pintu bilik di rumah panjang terlibat telah musnah terbakar,” katanya.— DayakDaily