Hospital Sentosa merekodkan 441 pesakit baharu pada 2019

Dr Rosliwati(dua dari kiri) bersama pegawai perubatan Hospital Sentosa mempromosikan Persidangan Kesihatan Mental Sarawak(SMHC) 2020 kali keenam bermula 1 hingga 3 April depan.

Chris Bishop

KUCHING, FEB 26: Jumlah pesakit yang mendapatkan perkhidmatan psikiatri di Hospital Sentosa, Kuching  meningkat setiap tahun.

Pengarah Hospital Sentosa, Dr Rosliwati Md Yusoff berkata, ia berikutan keperluan mendapatkan perkhidmatan dan peningkatan kes baharu.


“Statistik menunjukkan jumlah pesakit baharu yang mendapatkan rawatan psikiatri meningkat setiap tahun. Pada tahun 2018, Hospital Sentosa merekodkan 346 pesakit baharu.

“Manakala pada tahun 2019, hospital merekodkan 441 pesakit baharu.

“Keseluruhannya pada tahun 2019, Hospital Sentosa menerima kemasukan 954 pesakit,’katanya pada sidang media di Hospital Sentosa hari ini.

Terdahulu, Dr Rosliwati menghadiri majlis Sambutan Krismas 2019 dan Tahun Baharu Cina 2020 yang diadakan di Dewan Hospital Sentosa.

Tambah beliau, faktor persekitaran seperti tekanan di tempat kerja dan penglibatan di dalam penyalahgunaan dadah adalah sebahagian daripada punca peningkatan pesakit psikiatri.

Menurut beliau lagi, pelajar sekolah dan juga guru adalah di antara yang turut mendapatkan perkhidmatan psikiatri.

“Secara keseluruhan, Hospital Sentosa telah menerima sejumlah 16,216 pesakit psikiatri termasuk pesakit luar,’ujar beliau.

Dalam pada itu, Dr Rosliwati memaklumkan Hospital Kota Sentosa akan menganjurkan Persidangan Kesihatan Mental Sarawak(SMHC) 2020 kali keenam bermula 1 hingga 3 April depan.

Bertemakan ‘Embracing Mental Health Inclusivity:Towards Wellness and Recovery”, persidangan ini akan berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini.

Dr Rosliwati berharap persidangan dapat membantu mengurangkan stigma masyarakat terhadap penyakit mental sekali gus menggalakkan lebih ramai pesakit tampil mendapatkan rawatan.

“Kita menyasarkan 180 hingga 300 peserta dari kalangan pakar psikiatri, doktor dan golongan profesional lain dari seluruh negara

“Persidangan memberi fokus kepada kesejahteraan pesakit dan program pemulihan trutama terhadap pesakit mental kami,’ujar beliau yang juga Pengerusi SHMC 2020. — DayakDaily