Hospital Miri laksana sesi latihan kejadian bencana luar

Operasi pasukan perubatan di tempat lokasi kejadian bencana dalam menangani 'mangsa-mangsa' terlibat.
Advertisement

MIRI, Sept 8: Hospital Miri telah mengadakan sesi latihan (‘drill’) untuk kejadian bencana luar, semalam.

Objektif latihan itu bertujuan bagi menguji tahap kesediaan anggota dan fasiliti untuk berhadapan dengan bencana luar seperti bencana semulajadi, bencana disebabkan aktiviti manusia atau gabungan kedua-duanya.

Jurucakap Hospital Miri dalam satu kenyataan media hari ini, senario latihan pada kali ini adalah kejadian bencana bangunan runtuh.

Advertisement

Katanya, lokasi latihan adalah di dalam lingkungan kawasan Hospital Miri dan bangunan Asrama Jururawat digunakan sebagai lokasi bencana bangunan runtuh.

“Hospital Miri berada dalam status sedia untuk menangani bencana bermula pada jam 9.19 pagi dengan pengumuman status ‘Yellow Alert’ dan diikuti oleh pengumuman KOD 99 (Kod Bencana) pada jam 9.34 pagi.

“Mangsa pertama tiba di Jabatan Kecemasan Hospital Miri pada jam 9.54 pagi dan mangsa terakhir tiba pada jam 10.41 pagi. Keseluruhan sesi latihan ini selesai dan ditamatkan pada jam 10.50 pagi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Jurucakap sama memberitahu, bagi tujuan sesi latihan ini, senario menyediakan 12 orang mangsa di mana seorang mangsa terkorban di tempat kejadian.

Jelasnya, pasukan petugas telah melaksanakan latihan pengeluaran dari tapak kejadian untuk pemindahan baki 11 mangsa lagi ke Jabatan Kecemasan.

“Pasukan perubatan di bawah Pelan Tindakan Kod 99 telah melaksanakan pengurusan mangsa dan mengelaskan mangsa untuk penempatan ke wad untuk pengurusan seterusnya.

“Terdapat tiga mangsa dimasukkan ke wad ICU, seorang mangsa ke wad NICU (bayi), seorang mangsa ke wad bersalin, empat mangsa ke wad bencana dan dua mangsa lagi hanya menjalani rawatan pesakit luar di Green Zone dan telah discaj,” ujarnya.

Berbeza dengan sesi latihan sebelumnya tambah jurucakap sama, senario pada kali ini telah menetapkan pergerakan mangsa daripada Pusat Triaj di Jabatan Kecemasan sehingga ke wad bencana dan wad-wad lain mengikut jenis kecederaan mangsa-mangsa yang terlibat.

Ujarnya, senario ini membolehkan Pasukan Pengurusan Bencana Hospital Miri untuk menilai keberkesanan pelan tindakan disetiap peringkat pengurusan bencana serta pergerakan mangsa daripada tapak bencana sehingga ke wad adalah terkawal.

Katanya, sesi latihan pada kali ini hanya melibatkan jabatan dan unit dalaman Hospital Miri sahaja dengan penglibatan pasukan pemerhati daripada Pejabat Kesihatan Bahagian Miri.

“Sesi latihan ini secara keseluruhannya telah mencapai objektif yang ditetapkan.

“Pengurusan Hospital Miri akan membuat ‘post-mortem’ untuk sesi kali ini dan akan melaksanakan sebarang penambahbaikan dari seluruh aspek bagi memperkemaskan pelan tindakan bencana yang sedia ada,” katanya lagi.

Sambil menambah, pengurusan hospital akan meneruskan sesi latihan seumpama ini pada masa akan datang untuk memastikan Hospital Miri mempunyai pasukan dan sistem pengurusan bencana luar yang mempunyai kesiapsiagaan yang tinggi dan terlatih bagi menghadapi kejadian bencana sebenar. — DayakDaily

Advertisement