Lelaki panjat pokok dabai nyaris maut ditembak

Man looks through the scope of a gun. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KAPIT, Sept 8: Seorang lelaki warga emas nyaris maut apabila dia ditembak oleh seorang pemburu dalam satu kejadian di kawasan hutan di Kampung Balan dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 petang kelmarin, lelaki berusia 60-an tersebut cedera di bahagian punggung dan pahanya akibat terkena peluru penabur yang dilepaskan dari senapang patah.

Ketua Polis Daerah Kapit, Dsp Freddy Bian berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan sedang memanjat pokok dabai seorang diri.


Bagaimanapun katanya, malang menimpa mangsa apabila seorang pemburu binatang liar secara tiba-tiba melepaskan tembakan lalu terkena anggota badan mangsa.

“Akibat terkena tembakan itu, mangsa kemudian terjatuh sebelum pemburu yang berusia 64 tahun tersebut menyedari dia telah menembak manusia.

“Siasatan awal mendapati pemburu berkenaan mendakwa dia menyangka mangsa yang memanjat pokok itu adalah seekor kera,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Freddy memberitahu, mangsa yang cedera kemudian dibawa balik oleh pemburu terbabit untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Katanya, mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan perubatan selanjutnya.

“Polis sudah merakam keterangan daripada pemburu tersebut dan merampas senapang patah itu untuk siasatan seterusnya,” ujarnya. — DayakDaily