Hospital Miri beroperasi seperti biasa setelah gangguan bekalan elektrik awal pagi tadi

Dr Jamilah Hashim

Oleh Chris Bishop

KUCHING, April 3: Semua perkhidmatan di Hospital Miri yang mengalami gangguan bekalan elektrik bermula jam 5.10 pagi tadi telah dibaik pulih dan beroperasi seperti biasa dengan menggunakan genset pada jam 11.03 pagi.

Menurut kenyataan akhbar Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak Dr Jamilah Hashim, usaha mengenal pasti punca dan membaik pulih bekalan elektrik telah dilakukan oleh pihak Sarawak Energy.


“Gangguan bekalan elektrik tersebut disahkan berpunca daripada kerosakan alat transformer.

“Kerja penggantian transformer oleh Sarawak Energy dijangka akan selesai dalam masa satu hari,” ujar beliau.

Sementara itu tambah Dr Jamilah, Sarawak Energy telah membekalkan genset tambahan bagi menampung bekalan elektrik di hospital.

Beliau turut memaklumkan yang sepanjang insiden ini, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kepada pesakit dan orang awam.

“Walaupun beberapa kes pembedahan elektif terpaksa ditunda, namun, bagi kes kecemasan, ianya masih diteruskan,” tegas beliau.

Sehubungan dengan itu beliau berkata pihak Pengurusan Hospital Miri juga akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa.

Kepada orang awam yang menghadapi kesulitan untuk mendapatkan perkhidmatan sepanjang tempoh tersebut adalah dinasihati untuk berhubung dengan jabatan atau unit berkenaan bagi urusan temu janji dan tindakan selanjutnya.

Pihak Pengurusan Hospital Miri juga telah membuat hebahan awam secara berulang kepada orang awam mengenai kesulitan yang dihadapi. — DayakDaily