KUCHING, Julai 3: Penduduk di Daerah Bau diharap untuk bersabar, kerana kerajaan sekarang sedang berusaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan harian mereka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata walaupun Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta untuk tujuan tersebut, namun ia tidak dapat diselesaikan dalam masa yang singkat.
āKedatangan Ketua Menteri ke Singai baru-baru ini cukup bertuah kerana kami telah menggunakan peluang ini untuk memberitahunya tentang masalah air di Bau, dan beliau terus meluluskan peruntukan RM20 juta untuk menyelesaikannya.
āNamun demikian, masalah air ini tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat kerana kerja-kerja yang perlu dilakukan dijangka memerlukan tempoh 18 hingga 24 bulan.
āOleh itu, saya berharap semua rakyat di Bau dapat bersabar dan berdoa agar projek ini dapat dilaksanakan dan siap secepat mungkin,ā katanya.
Sehubungan itu, beliau turut menyarankan penduduk di kampung khususnya supaya mencari inisiatif untuk mendapatkan bekalan air masing-masing, misalnya dengan mendapatkan sumber air secara menggunakan sistem graviti.
āTerdapat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) mengambil inisiatif membina empangan mini atau membuat tangki air dan ini sekurang-kurangnya dapat membekalkan air kepada penduduk setiap hari,ā katanya.
Menjelaskan mengenai antara punca masalah air di Bau, Henry berkata ia disebabkan oleh pertambahan rumah penduduk termasuk kawasan perumahan dan komersial baharu.
āSekarang ramai orang sudah menggunakan mesin basuh, malah kedai dobi juga semakin banyak. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Singai yang baharu beroperasi juga memerlukan air untuk asrama termasuk kawasan perumahan dan komersial yang baharu, semuanya menggunakan air,ā katanya.
Menurut Henry, pada masa ini terdapat 12,000 penduduk di Daerah Bau yang menggunakan bekalan air terawat daripada Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB), dengan kadar penggunaan antara 31 hingga 35 juta liter sehari.
Bagaimanapun, katanya Loji Rawatan Air di Bau cuma dapat menampung sebanyak 7 juta liter air dalam satu masa dan Lembaga Air Kuching (LAK) juga terpaksa membekalkan 24 juta liter air lagi setiap hari namun ia masih tidak mencukupi.
āPenduduk yang menggunakan air bertambah ramai dan ditambah lagi dengan loji serta saluran paip lama yang bocor menyebabkan air tidak dapat disalurkan ke setiap rumah dengan mencukupi lebih-lebih lagi rumah yang berada jauh daripada saluran paip utama.
āKeadaan ini menyebabkan ramai penduduk sengsara tidak ada air sehingga dua atau tiga bulan, malah ada sehingga enam bulan di mana penduduk merungut hanya angin sahaja keluar dari paip.
āWalaupun terdapat tangki air yang dibina di Sebuku dan Sibuluh, namun kedua-duanya juga tidak dapat diisi kerana bekalan air yang tidak mencukupi,ā katanya. ā DayakDaily