KUCHING, 23 Jan: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) memberi jaminan akan meneruskan pelaksanaan projek pembinaan perumahan Ranggau Valley, Limbang, seperti yang dijanjikan sebelum ini.
Ketua pegawai eksekutif HDC, Mohamad Asman Ahmad, berkata ketika ini, HDC sedang dalam proses memohon kelulusan pelan-pelan teknikal sebelum kerja-kerja pembinaan rumah dimulakan.
Jelas beliau, kerja-kerja penembokan tanah sedang dijalankan dengan kemajuan kerja tapak ketika ini adalah 85 peratus.
“Pada masa yang sama, proses penilaian tender untuk kerja-kerja pembinaan rumah dan infrastruktur sedang berjalan.
“Kerja-kerja pembinaan rumah akan bermula tahun ini, dan dijangka siap pada tahun hadapan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Menurut Mohamad Asman, kerja-kerja pembinaan rumah ini melibatkan 128 unit, iaitu 102 unit rumah teres dua tingkat dan 26 unit rumah berkembar dua tingkat.
Kerja-kerja menyelenggara tapak lama akan dijalankan apabila kerja-kerja pembinaan bermula, tambah beliau.
“Buat masa ini, kerja-kerja pembersihan seperti memotong rumput dilakukan secara berkala,” katanya. — DayakDaily