Hasrat bekerja di Malaysia terbantut, ditahan akibat tiada dokumen sah

Anggota tentera menahan seorang lelaki warga Indonesia yang memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah.

SERIAN, Ogos 30: Hasrat seorang lelaki warga Indonesia untuk bekerja di negara ini tidak kesampaian apabila dia ditahan oleh pasukan tentera dari Rejimen Ke-4 Kor Amor Diraja di kawasan sempadan Malaysia-Indonesia berhampiran Kompleks CIQ Tebedu di sini petang semalam.

Jurucakap Divisyen Pertama Infantri Malaysia berkata, lelaki yang berusia 20 tahun itu ditahan selepas memasuki negara ini tanpa sebarang dokumen perjalanan yang sah.

Menurutnya, suspek tersebut ditahan kira-kira pukul 3.15 petang oleh sepasukan lima anggota tentera yang melakukan rondaan di kawasan sempadan negara di situ.


“Hasil pemeriksaan lelaki yang berusia 20 tahun itu merupakan warga Indonesia dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.

“Lelaki tersebut didapati memasuki negara ini untuk berkerja di sebuah ladang berhampiran kawasan tersebut dengan bayaran upah RM50 sehari,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, lelaki warga asing itu kemudian dibawa ke Balai Polis Terbedu untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan penahanan lelaki warga Indonesia berkenaan.

Katanya, lelaki tersebut mengaku memasuki negara ini tanpa dokumen perjalanan sah dan berhasrat bekerja di sebuah ladang kelapa sawit di negara ini.

“Kes tersebut disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya lagi. — DayakDaily