Harga rumah di bandaraya Kuching dijangka akan meningkat tahun depan, kata SHEDA

Pau (dua dari kiri) menunjukkan poster acara Pertunjukan Hartanah dan Rumah SHEDA Cawangan Kuching Ke-2 bersama ahli jawatankuasa SHEDA Cawangan Kuching selepas sidang media acara terbabit di ibupejabat SHEDA, di Kuching.
Advertisement

KUCHING, Sept 5: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) Cawangan Kuching menjangkakan harga rumah di bandaraya ini akan meningkat tahun depan dan berikutan itu akan mengadakan Pertunjukan Hartanah dan Rumah SHEDA Cawangan Kuching Ke-2.

Pengerusi pengelolanya, Peter Pau Kiu Sung berkata acara terbabit akan diadakan di AEON Mall dari Nov 7 hingga 11 depan dan akan menawarkan jualan rumah dari harga RM300,000 ke bawah sehingga lebih RM1 juta seunit kepada orang ramai.

“Ini supaya orang ramai dapat membeli rumah sebelum berakhirnya tahun ini. Kami (SHEDA Cawangan Kuching) menjangkakan harga rumah di bandaraya ini akan meningkat tahun hadapan,” katanya ketika mengadakan sidang media acara terbabit di Ibupejabat SHEDA, di Tabuan Stutong Commercial Centre, di sini, hari ini.

Advertisement

Sidang media itu juga dihadiri Pengurus Besar SHEDA Cawangan Kuching, Tan Teck Kian, Setiausaha SHEDA Cawangan Kuching, Peter Lau Hui Gan, Jawatankuasa SHEDA Cawangan Kuching, Alan Wong Kok Yee dan Ahli Jawatankuasa Aktiviti SHEDA Cawangan Kuching, Steve Tan Chen Hang.

Pau berkata pihaknya bagaimanapun belum dapat menanggarkan peratusan kenaikannya berikutan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) baharu dimulakan kutipannya dan ketika ini jualan rumah di bandaraya ini adalah perlahan.

Pihaknya juga ada dimaklumkan bahan binaan seperti simen dan besi tidak akan dikenakan cukai SST tetapi ini dijangka hanya akan memberikan kesan pada harga rumah baharu yang dibina selepas bermulanya kutipan SST.

“Jadi rumah dan hartanah yang dibina ketika bahan binaan di negara ini masih dikenakan kutipan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), harga jualannya juga akan termasuk kos pembayaran cukai itu yang dikenakan kepada pemaju,” katanya.

Sehubungan itu beliau mengalakkan orang ramai yang mahu membeli rumah untuk mengunjungi acara terbabit yang keseluruhannya akan ada keseluruhannya sebanyak 38 gerai dengan setakat ini sebanyak 14 sudah ditempah pihak pemaju, bank, pembekal bahan binaan dan peserta industri itu yang lain.

“Disamping itu, pada acara terbabit nanti akan ada banyak aktiviti menarik bagi pengunjungnya termasuk Cabutan Bertuah Beli & Menang yang menawarkan hadiah mencecah ribuan ringgit kepada orang ramai,” katanya, sambil menambah acara itu kali pertama diadakan tahun lepas di pusat beli belah Boulevard.

Sehubungan itu, pihak yang mahu mendapatkan maklumat lanjut mengenai acara itu dan gerainya bolehlah menghubungi Pengurus SHEDA Cawangan Kuching, Angelina Chai di talian 019-8162191 atau e-mail angelina.skb@org.my. — DayakDaily

Advertisement