Harga mingguan petrol: RON95, RON97 naik 6 sen, diesel naik 12 sen

Keadaan di salah satu stesen minyak di Kota Samarahan hari ini (Jan 18).

KUCHING, 18 Jan: Harga runcit petrol RON 95 dan RON 97 akan naik 6 sen seliter, manakala harga runcit diesel naik 12 sen seliter bermula tengah malam ini sehingga 25 Januari depan.

Mengikut kenyataan media Kementerian Kewangan di laman Facebooknya petang ini, harga runcit petrol RON 97 akan naik daripada RM2.22 seliter kepada RM2.28 seliter, manakala harga runcit RON95 akan naik daripada RM1.92 seliter kepada RM1.98 seliter.

Harga runcit diesel akan naik sebanyak 12 sen iaitu daripada RM2.05 seliter kepada RM2.17 seliter.


“Kenaikan ini adalah berikutan harga produk petroleum yang di proses di pasaran dunia yang telah menunjukkan trend peningkatan berbanding minggu sebelumnya,” menurut kementerian.

Peningkatan itu adalah daripada (Dolar Amerika Syarikat) US$60 setong kepada US$63 setong bagi petrol RON95, dan US$68 setong kepada US$73 setong bagi diesel. — DayakDaily