Harga jualan dan harga borong ‘test kit’ Covid-19 diturunkan, galakkan ujian kendiri lebih pantas

Lukanisman menunjukkan 'test kit' Covid-19.
Advertisement

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 2 Sept: Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni menyambut baik pengumuman kerajaan berkenaan penurunan harga jualan Kit Ujian Kendiri Antigen Covid-19 (Test Kit) pada harga jual RM19.90 dan harga borong RM16.

“Ini adalah sebagai langkah mengurangkan beban kepada pengguna yang dikenakan harga terlalu tinggi ketika ini,” ujarnya hari ini.

Advertisement

Beliau menambah, kementerian berkenaan juga perlu menguatkuasa Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan bagi penjual yang mengenakan harga terlalu tinggi.

“Saya juga ingin menyeru agar kerajaan agar memantau sekiranya terdapat lambakan kit ujian palsu,” jelasnya.

Lukanisman yakin, dengan penurunan harga ini, individu yang bergejala dapat melakukan ujian kendiri secara lebih pantas.

“Saya berharap agar kerajaan terus mencari jalan mendapatkan harga lebih murah dalam kuantiti yang lebih besar agar kit ujian Covid-19 ini dapat diedarkan secara percuma kepada golongan B40,” katanya.

Kerajaan Sarawak juga diharap dapat menerokai beberapa pilihan untuk mendapatkan kit ujian kendiri untuk edaran orang ramai melalui Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS).

“Sekiranya penurunan harga lebih murah saya menyarankan agar kit ujian antigen Covid-19 diperkenalkan penggunaan di sekolah sekiranya persekolah dibuka kelak,” beliau berkata.

“Kali pertama saya menggunakan Test Kit Antigen Covid19 di Parlimen pada bulan lepas,” ujar Lukanisman. — DayakDaily

Advertisement