‘Harga barangan meningkat bukan salah Najib ‘

Anthony (kiri) memberikan sumbangan bantuan kepada warga emas di ketika merasmikan Majlis Penyerahan Skim Bantuan Penanaman Nanas di Kampung Stenggang.

BAU, Mac 12: Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani mahu rakyat negara ini termasuk di Sarawak supaya tidak berterusan menyalahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sekiranya harga barangan makanan di negara ini terus meningkat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Dato Anthony Nogeh Gumbek berkata demikian dan menambah negara ini yang sebenarnya terlalu banyak mengimport barang makanan dari negara lain bagi memenuhi permintaan rakyatnya dan ini menyebabkan kesukaran bagi mengawal kenaikan harga barangan itu sekiranya nilai matawang ringgit menyusut.

“Sebenarnya kita mengimport terlalu banyak barang makanan. Malaysia mengimport tidak kurang RM4 bilion barangan makanan setiap tahun bagi dimakan rakyat negara ini, walaupun populasi rakyat Malaysia cuma seramai 32 juta orang sahaja. Jadi kalau nilai mata wang ringgit menyusut, tidak boleh menyalahkan Perdana Menteri (sekiranya harga barangan makanan naik) kerana bukan beliau seorang sahaja yang makan RM4 bilion barangan makanan diimport terbabit tapi kita semua rakyat negara ini,” katanya ketika merasmikan Majlis Penyerahan Skim Bantuan Penanaman Nanas Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia 2018 di Kampung Stenggang, di sini, semalam.


Anthony berkata negara ini banyak mengimport barangan makanan dengan berterusan disebabkan tidak ramai rakyat negara ini yang berminat mengusahakan tanah terbiar dengan kegiatan pertanian bagi mengeluarkan makanan yang mencukupi bagi keperluan negara sendiri seperti dilakukan penduduk negara jiran Indonesia.

“Negara jiran Indonesia ketika ini mempunyai populasi rakyat sudah melebihi 200 juta orang, tetapi mereka dapat menyediakan makanan yang mencukupi bagi semua rakyatnya,” katanya.

Katanya penduduk negara ini juga gemar makanan yang diimport seperti daging kerbau sehingga restoran mamak yang menghidangkan kari daging itu di ibu negara dibuka 24 jam kerana sentiasa ramai pelanggan walaupun jam 3 pagi.

Sehubungan itu bagi mengurangkan import makanan negara ini, beliau mengalakkan penduduk negeri ini termasuk di Bau untuk tidak membiarkan tanah mereka terbiar dan menanam pelbagai tanaman yang boleh dijadikan barangan makanan.

“Tidak payah tunggu ada tanah seluas 100 ekar atau 1,000 ekar; satu ekar pun boleh tanam durian ‘musang king’, sama dengan nanas, setengah ekar pun boleh ditanam nanas juga, sama dengan betik, nak tanam tiga pokok betik sahaja pun boleh,” katanya.

Beliau juga menyarankan penduduk Bau menanam nanas MD2 yang mempunyai permintaan tinggi dari dalam dan luar negeri dan setakat ini seluas 50 ekar tanaman nanas terbabit sudah dimulakan di Kampung Padang Pan, Bau. — DayakDaily