Harden agih bantuan kepada mangsa kebakaran Di Kampung Hilir, Simanggang

Harden( dua dari kanan) menyerahkan bantuan kepada wakil keluarga mangsa, KK Bujang Ili

KUCHING, 23 JAN: Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa kebakaran di Kampung Hilir pada pagi Sabtu.

Bantuan merupakan sumbangan daripada pihak Pergerakan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak(SUPP) cawangan Simanggang dan Kelab Bola Kerajang Chung Hua Simanggang.

Majlis penyerahan bantuan berupa makanan dan tilam itu berlangsung di perkarangan Surau Kebahagian Kampung Hilir dengan Ketua Kampungnya, Bujang Ili bertindak sebagai wakil keluarga mangsa.


Harden pada ucapan ringkasnya menasihat keluarga mangsa kebakaran berkenaan agar terus tabah mengharungi cabaran itu.

“Selain itu, pemilik-pemilik rumah hendaklah sentiasa memantau usia dan tahap pendawaian kediaman masing-masing demi mengurangkan risiko kejadian litar pintas hingga menyebabkan berlaku kebakaran.

“Pemilik rumah juga dinasihat agar tidak lalai menggunakan perkakas elektrik di rumah dan berhati-hati ketika menggunakan sebarang bahan yang mudah terbakar,”kata Harden yang juga ADUN Simanggang.

Beliau turut memuji sifat keprihatinan pihak-pihak yang telah bertindak menyumbang bantuan kepada keluarga mangsa kebakaran berkenaan sebelum ini.

Katanya, sikap sedemikian harus terus diperkembang demi keharmonian hidup penduduk dari masa ke semasa.-DayakDaily