‘Hanya ilmu pengetahuan mampu mengubah taraf hidup’

Jugah (di atas pentas) mengumumkan peruntukkan RM230,000 untuk tujuan baikpulih fasiliti dan prasarana SK Menjuau.

Oleh Chris Bishop

LUBOK ANTU, April 14: Ahli Parlimen (MP) Lubok Antu, Jugah Muyang mengingatkan ibu bapa agar sentiasa komited mengutamakan pendidikan untuk anak-anak.

Beliau percaya ilmu pengetahuan merupakan aset yang amat berguna kepada anak-anak mereka.


“Hanya melalui pendidikan sahaja mampu mengubah taraf hidup sama ada anak-anak itu sendiri mahupun keluarga mereka.

“Masalah kemiskinan di luar bandar boleh diselesaikan melalui pendidikan dan dengan itu hantarlah anak-anak ke sekolah.

“Sekolah merupakan gelanggang yang amat berguna dan di situlah tempat menimba ilmu pengetahuan untuk menjamin kehidupan generasi masa akan datang,” katanya semasa berucap di Majlis Merarau Pemimpin Bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Nanga Menjuau, Lubok Antu semalam.

Pada majlis tersebut, beliau mengumumkan peruntukkan sejumlah RM230,000 untuk SK Nanga Menjuau.

Peruntukkan tersebut adalah untuk tujuan membaikpulih fasiliti dan prasarana di SK Nanga Menjuau demi memberikan keselesaan kepada para guru dan murid-murid.

Disamping itu, Jugah dalam ucapannya memohon PIBG agar bekerjasama dengan beliau dalam usaha membangunkan pendidikan di Parlimen Lubok Antu.

“Kerjasama serta sokongan dari semua diperlukan dalam usaha membangunkan mutu pendidikan dan kemudahan sekolah.

“Ini adalah demi menyediakan prasarana yang selesa kepada anak-anak menimba ilmu,” katanya.

Menurut Jugah lagi, hampir semua sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Lubok Antu sudah pun beliau lawati.

Bantuan yang sewajarnya diberikan pada setiap lawatan dan ini membuktikan bahawa beliau sememangnya ingin melihat anak watan kelahiran Lubok Antu berjaya dalam pendidikan dengan cemerlang.

Pada majlis yang sama, Jugah turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM90,000 kepada tujuh Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) iaitu rumah panjang di sekitar SK Nanga Menjuau.

Majlis Merarau Pemimpin Bersama PIBG turut dihadiri seramai 200 penduduk dari rumah panjang berdekatan dan ketua-ketua masyarakat. — DayakDaily