“Hanya anak jati Sarawak yang mampu menentukan hala tuju Sarawak”

Snowdan (memegang bendera GPS) bersama ahli-ahli GPS lain pada majlis ‘Jelajah Bendera GPS’ di Pasar Balai Ringin petang tadi.

BALAI RINGIN, Jan 16: Hanya anak jati Sarawak sahaja yang mampu menentukan hala tuju kemajuan negeri ini, jelas Ketua Pemuda Gabungan Parti Sarawak (GPS) Gerald Rentap Jabu.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar juga menyifatkan penubuhan GPS selari dengan perjuangan bekas Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem menuntut hak Sarawak.

“Kerajaan di bawah GPS akan mengubah gaya hidup, membawa lebih banyak pembangunan dan mengukuhkan kesejahteraan rakyat negeri ini,” kata beliau semasa Jelajah Bendera GPS di Pasar Balai Ringin petang ini.


Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Snowdan Lawan berkata, hanya GPS sahaja yang melindungi rakyat negeri ini.

“Rakyat Sarawak perlu mengelak daripada ancaman parti luar yang berhasrat untuk memecahkan masyarakat berbilang kaum di negeri ini,” katanya.

Menurutnya, GPS yang dianggotai masyarakat berbilang kaum dan agama adalah penerus kepada perpaduan masyarakat yang diamalkan sejak dari dahulu lagi.

Tegasnya, setiap anak Sarawak juga tidak sepatutnya menjadi pengkhianat dengan membenarkan parti luar bertapak di negeri ini.

Beliau yang juga Menteri Muda Belia dan Sukan merangkap ADUN Balai Ringin berkata parti dari luar hanya mahu mengambil kesempatan dan bukannya ikhlas membantu rakyat negeri ini. — DayakDaily