Hantaran jahat di Facebook, Pemanca Nombor Satu digesa minta maaf

Hantaran Pemilik akaun Facebook ‘Pemanca Nombor Satu’.

KUCHING, 27 Sept: Pejabat Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini menggesa pemilik akaun Facebook ‘Pemanca Nombor Satu’ memadamkan hantarannya yang tidak benar dan berniat jahat terhadap Awang Tengah.

Melalui satu kenyataan hari ini, individu tersebut juga diminta untuk meminta maaf serta merta.

“Merujuk kepada hantaran di laman sosial di atas, adalah dimaklumkan bahawa hantaran yang dibuat oleh individu yang menggunakan akaun Facebook ‘Pemanca Nombor Satu’ adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.


“Sebarang hantaran yang bermotif jahat dan cuba menganggu kestabilan, keharmonian dan prasangka buruk antara kaum adalah bukan cara berpolitik di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia akan dibuat sekiranya individu tersebut gagal berbuat demikian.

Pemilik akaun Facebook ‘Pemanca Nombor Satu’ pada hantarannya meletakkan kapsyen “Awang Tengah membayangkan kaum melayu akan mengamuk membuat kacau kalau kuasa beralih kepada kaum lain di Sarawak?? Macam ugutan sahaja”.

Hantaran tersebut berhubung laporan oleh Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas) bertajuk “Pertahankan Keharmonian Dan Perpaduan Kaum di Sarawak”. — DayakDaily