Haniza berhasrat membawa sayap Wanita PKR ke arah lebih progresif dan dinamik

Parti Keadilan Rakyat logo.

Oleh Roslan Mutu

KUCHING, Nov 28: Ketua Wanita Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang baharu Haniza Talha berhasrat untuk mengemudikan Sayap Wanita ke arah lebih progresif dan dinamik terutamanya dalam mengatur pelan perancangan untuk jangka tiga tahun akan datang.

“Selain itu, saya juga telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perbincangan bersama ketua-ketua Wanita cabang dan mengambil maklum beberapa cadangan bagi pelantikan Jawatan Lantikan dalam sayap Wanita Pusat selaras dengan Peruntukan yang termaktub dalam Peraturan Tetap Wanita PKR,” jelas Haniza dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Haniza yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lembah Jaya selaku ahli exco kerajaan negeri Selangor berharap agar pelantikan ketua-ketua Wanita PKR negeri akan menjadi pemangkin semangat kepada para wanita untuk terus memperjuang dan mengangkat institusi dan Agenda Wanita Malaysia ke arah yang lebih baik dan terkehadapan.

“Mari kita bersama-sama pastikan sayap Wanita ini terus menjadi tunjang utama dalam menentukan hala tuju PKR di masa akan datang,” tambah beliau.


Berikut ialah perlantikan ketua-ketua negeri bagi sayap Wanita PKR Pusat, Penggal 2018-2021: Sarawak – Nurhanim Mokhsen; Sabah – Rahimah Majid; Perlis – Gan Ay Ling; Kedah – Suraiya Hashim; Penang – Nur Zarina Zakaria; Perak – Chua Yee Ling; Selangor – Dr Daroyah Alwi; Negeri Sembilan – Azlinah Zamli; Melaka – Ginie Lim Siew Lin; Johor – Rahamizon Abdul Ghani; Wilayah Persekutuan – Idawate Pariman; Pahang – Sitarunisah Ab Kadir; Terengganu – Sharifah Norhayati Syed Omar dan Kelantan – Nor Hanazalmah Mat Yusoff. — DayakDaily