Hal rumah tangga dipercayai punca kejadian tembak melibatkam anggota tentera di Kolong

Anggota Forensik dari IPK Sarawak hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
Advertisement

KUCHING,13 Okt: Masalah rumah tangga dipercayai punca seorang anggota askar menembak mati diri sendiri selepas mencederakan ibu mertuanya.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek, 28 tahun telah pergi ke rumah keluarga isterinya di Kampung Kolong 1, Jalan Sungai Tengah, Matang pada jam 12.44 tengah hari.

Katanya, suspek pergi ke situ untuk berbincang mengenai masalah rumah tangganya yang masih dalam proses penceraian.

Advertisement

Suspek kemudian dikatakan marah semasa perbincangan tersebut dan telah mengambil senjata jenis M4 yang disimpan di dalam kereta.

“Suspek terus melepaskan beberapa das tembakan di dalam rumah bahagian ruang tamu dan dapur.

“Dalam kejadian itu, ibu mertua suspek berumur 58 tahun turut terkena tembakan di bahagian bahu sebelah kiri.

“Kemudian suspek menghala ke hadapan rumah dan terus menembak diri sendiri di bahagian dagu dan telah maut ditempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mangsa meninggal dunia selepas menembak dirinya di hadapan rumah keluarga isterinya.

Jelasnya, ibu mertua suspek kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan.

Kes tersebut disiasat dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

“Suspek ketika kejadian masih bertugas sebagai anggota pemantauan pematuhan SOP Covid-19 bagi daerah Bau, namun telah meminjam kereta kawannya dan pergi ke rumah isterinya,” katanya.

Siasatan sedang dijalankan dan pihak polis mengesa orang ramai tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan selesai. — DayakDaily

Advertisement