KUCHING, Ogos 5: Anggota polis berpangkat Lans-Koperal, Mohd Hafizul Tuah, 29, dinobatkan ‘Juara Antara Juara’ di Kejuaraan Bina Badan Mr Boulevard-Mr BBS 2018 yang berlangsung di pusat beli belah Boulevard, di sini, semalam.
Beliau yang bertugas di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak sebelum itu memenangi Kategori Bina Badan 70 Kilogram Ke Atas menepis saingan daripada naib juara, Huang Chee Yan dan tempat ketiga, Lansconnery Ripit.
Menurut Hafizul, beliau sedang bercuti bagi pulang ke kampung halamannya di bandaraya ini dan penyertaannya dalam pertandingan terbabit tidak dirancang kerana sedang bersedia untuk Kejuaraan Mr Malaysia 2018 yang bakal berlangsung di Melaka dua minggu lagi.
“Sebenarnya saya lebih kepada melatih adik saya Mohd Shabli, yang menyertai pertandingan sebegini buat kali pertama. Atas pujukan rakan-rakan serta sokongan keluarga, saya pun mengambil bahagian,” katanya.
Katanya ini kali pertama beliau meraih gelaran di bandaraya ini yang menjadi tempat kelahiran sendiri kerana beliau yang menyertai pasukan polis pada 2009 adalah atlet di bawah pasukan bina badan pasukan polis sejak 2016 sehingga kini.
Bagi Kategori Bina Badan 70 Kilogram Ke Bawah, Joseph Ladi muncul juara, diikuti Firman Raynar Jamis dan Anthony Tebie Rapheal yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.
Juara bina badan membawa pulang wang tunai RM1,000, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing menerima RM500 dan RM200, di samping hamper dan baucar sumbangan penaja utama Boulevard dan Borneo Bodybuilding Supplement (BBS).
Kategori Susuk Tegap 170 Sentimeter Ke Bawah dijuarai Abang Ahmad Agus Khalil Abang Ibrahim, diikuti Mohd Shabli Tuah di tempat kedua dan Daryl Aaron Bawood di tempat ketiga.
Bagi Kategori Susuk Tegap 170 Sentimeter Ke Atas, pemenangnya adalah Muhamad Azri Nazaruddin manakala tempat kedua diraih Arif Azhan Mohamad Ghazali dan tempat ketiga Abdul Ramzi Bujang.
Juara kategori ini memenangi RM800, manakala tempat kedua dan ketiga menawarkan hadiah wang tunai RM400 dan RM100.
Pertandingan Mr Boulevard-Mr BBS ini mula diperkenalkan pada 2014 sebagai salah satu acara dalam kempen tahunan ‘Minggu Kesihatan Boulevard’ dan sejak itu, acara ini telah melahirkan ramai jaguh bina badan Sarawak peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa.
Upacara pembukaannya dirasmikan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Datuk Dr Sim Kui Hian di pusat beli belah itu semalam dan diiringi presiden Persatuan Bina Badan Sarawak Dato Wee Hong Seng. — DayakDaily