Oleh Dean Adam
SIBU, Nov 24: Seorang guru wanita di sini terpaksa berputih mata selepas wang simpanannya berjumlah RM20,000 lesap ditipu sindiket ‘Macau Scam’.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah, berkata berdasarkan laporan diterima, guru berusia 49 tahun itu ditipu dua hari lalu.
Katanya, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki menggunakan nombor 04-2221522 kononnya seorang peguam dari Mahkamah Pulau Pinang.
“Suspek kemudian memberitahu nama mangsa kononnya telah mempunyai tunggakan tidak membayar cukai sebanyak RM98,000.
“Seterusnya, panggilan mangsa telah disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, suspek kemudian meminta maklumat kad pengenalan mangsa untuk membuat semakan.
Katanya, selepas semakan dibuat suspek kemudian memberitahu nama mangsa telah disenaraikan salah seorang daripada 200 orang yang disyaki terlibat dengan kes jualan dadah dan juga kes judi.
“Suspek kemudian meminta mangsa perlu membayar RM20,000 untuk bayaran cas semakan kes jenayah tersebut.
“Pada hari sama mangsa telah memberikan nombor akaun dan nombor kata laluan kad bank kepada suspek kerana mangsa tidak dapat keluar untuk membuat pembayaran itu,” jelasnya.
Mustafa menambah, suspek yang menyedari duit simpanannya dalam akaun bank lesap kemudian membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
“Kes berkenaan masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily