Guru tuisyen berjaya elak ditipu ‘Macau Scam’

Scam alert. — DayakDaily.com file pic // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 1: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak terus menerima laporan berhubung sindiket penipuan ‘Macau Scam’ yang berlaku di negeri ini.

Ketua JSJK Sarawak, Supt Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, kes dilaporkan semalam melibatkan seorang guru tuisyen yang berusia 32 tahun, namun dia berjaya mengelak daripada ditipu.


Menurutnya, berdasarkan laporan diterima, mangsa telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri Mohd Zanbri Rashid.

Katanya, suspek kemudian memberitahu pengadu mempunyai tunggakan kad kredit Hong Leong Bank sebanyak RM30,000, tetapi mangsa mengatakan tidak pernah memohon kad kredit dari bank berkenaan.

“Selepas itu talian telefon disambungkan kepada seorang bernama Roslan Mohd kononnya polis dari IPK Melaka dan memberitahu mangsa juga mempunyai satu akaun di Maybank untuk tujuan cuci duit dan aktiviti jenayah.

“Kemudian talian telefon disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor Yap dari IPK Melaka dan meminta mangsa membayar wang sebagai jaminan sebanyak RM3,000,” katanya di sini hari ini.

Mustafa menambah, pengadu yang mengesyaki tindakan jahat suspek kemudian mematikan perbualan telefon dengan suspek tersebut.

Katanya, pengadu memberitahu dia ada menghantar gambar melalui aplikasi WhatsApp kepada suspek seperti yang diarahkan.

“Pengadu membuat laporan polis untuk peringatan dan keselamatan sekiranya terjadi perkara tidak diingini kemudian hari,” katanya. — DayakDaily