Guru sekolah Sarawak menang kereta BMW dalam cabutan bulanan BSN SSP

Kueh bergambar bersama kereta BMW yang dimenanginya.

KUCHING, 22 Okt: Guru wanita sekolah rendah di Kuching Kueh Siaw Eng antara empat orang pemenang kereta mewah jenis BMW 320-i M Sport (2022) Runout Edition yang dianggar bernilai RM250,000.

Kueh tidak menyangka impiannya untuk memiliki sebuah kereta sebelum bersara tercapai apabila memenangi Cabutan Bulanan BSN SSP bagi bulan Ogos 2022 sekaligus memandu pulang sebuah kereta mewah.

Bank Simpanan Nasional (BSN) baru-baru ini telah menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang bagi Cabutan Bulanan BSN SSP 2022 di satu majlis yang diadakan di bilik pameran Auto Bavaria di Kuala Lumpur pada 17 Oktober lalu.


Menurut Ketua Eksekutif BSN Jay Khairil, BSN masih mengekalkan cabutan istimewa yang menawarkan hadiah RM1 juta untuk setiap bulan pada tahun ini.

“Sehingga September lalu, BSN SSP terus mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai dengan jumlah simpanan dicatatkan adalah sebanyak RM4.8 bilion,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada majlis penyampaian hadiah cabutan bulanan itu, tiga orang pemenang lain turut menerima hadiah kereta yang sama.

Mereka ialah pemenang bulan Februari Amir Hashim, 56 dari Kedah, pemenang April Saiful Azhar Mohd Said, 63 dari Selangor dan pemenang Jun Zaharah Miro Shamsudin, 76 dari Kuala Lumpur.

Dalam pada itu Jay berkata, pelanggan sedia ada yang ingin menambah simpanan BSN SSP boleh berbuat demikian menerusi kaunter Cawangan BSN, Mesin Teler Automatik (ATM), Mesin Deposit Tunai (CDM), perbankan internet myBSN.

Ia juga boleh dilakukan melalui Cawangan Bank Bergerak (CBB) atau menerusi saluran Ejen Bank BSN (EB BSN).

Bagi pelanggan baharu pula, simpanan BSN SSPboleh dibuat melalui kaunter Cawangan BSN di seluruh negara. — DayakDaily