Guru di Serian rugi RM270,000, tertipu dengan pelaburan tidak wujud

Dato Mancha Ata
Advertisement

SERIAN, 5 Dis: Seorang guru wanita mengalami kerugian mencecah RM270,000 selepas menjadi mangsa kes penipuan pelaburan tidak wujud.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata mangsa yang berusia 40an telah tertarik dengan satu iklan pelaburan di Facebook pada awal September lalu.

Katanya, mangsa kemudian berurusan dengan seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai ‘Chryseis’.

Advertisement

“Mangsa seterusnya dimasukkan ke dalam satu ‘group’ WhatsApp atas nama A80 dan dia diminta mengikuti kes melalui ‘website’ untuk belajar cara-cara membuat pelaburan.

“Mangsa kemudian ditawarkan pulangan keuntungan sebanyak 10 peratus setiap kali pelaburan dibuat dan sejak itu mangsa telah membuat sembilan transaksi pindahan wang sehingga penghujung November lalu berjumlah sekitar RM270,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, mangsa setelah membuat sesuatu transaksi akan dapat melihat turun naik saham yang dibeli.

“Mangsa hanya sedar diri ditipu apabila mendapati wang di dalam akaun pelaburannya itu tidak dapat dipindahkan ke akaun bank simpanannya.

“Dia kemudian membuat semakan dengan sebuah syarikat di Singapura dan dimaklumkan bahawa mereka tidak menyediakan perkhidmatan jual beli saham,” katanya.

Oleh itu, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis berhubung kejadian.

Siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan. — DayakDaily

Advertisement