Lelaki warga emas maut, tercampak keluar dalam kemalangan di Serian

Toyota Hilux dipandu mangsa terbalik dalam kemalangan tersebut.

SERIAN, 5 Dis: Seorang lelaki warga emas maut dalam kemalangan kendiri di Kilometer 43 Jalan Kuching-Serian semalam (Isnin).

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata mangsa, 64 tahun, semasa kejadian memandu sebuah pikap jenis Toyota Hilux sekitar jam 4.43 petang.

Katanya, dipercayai mangsa gagal mengawal kenderaan sehingga terbabas ke kiri jalan dan melanggar tebing tanah lalu terbalik.


“Akibat kemalangan tersebut, mangsa dikatakan telah tercampak keluar dari dalam kereta dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik dari Hospital Serian,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

Siasatan lanjut kes masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily