‘Gunakan teknologi sepenuhnya untuk bangunkan industri tanaman orkid tempatan’

Taib (baju batik kuning) meluangkan masa menyaksikan pameran bunga orkid di BCCK. Turut kelihatan Abdul Karim (empat dari kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Julai 24: Sarawak akan menggunakan sepenuhnya potensi teknologi dalam pembangunan dan pengurusan industri florikultur, khusus dalam tanaman bunga orkid.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata perkara itu penting kerana industri florikultur diantara industri yang bernilai tinggi.

Advertisement

“Tumpuan juga diberikan di dalam program kajian dan pembangunan untuk menghasilkan spesis baru orkid dan pelbagai bunga orkid,” katanya dalam ucapan aluan di Persidangan Orkid Asia Pasifik Ke-13(APOC13) di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca Menteri Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian, Belia dan Sukan Datuk Abdul Rahman Karim Hamzah.

APOC13 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching(BCCK) dirasmikan TYT Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Taib (dua dari kanan) meletakkan bunga orkid di tempat khas sebagai simbolik perasmian APOC13 di BCCK di Kuching.

Dengan peningkatan kerja-kerja kajian dan pembangunan, Abang Johari yakin Sarawak berpotensi di dalam industri tersebut dan seterusnya memenuhi permintaan pelanggan ataupun peminat orkid.

“Apabila Malaysia memenangi bidaan menganjurkan acara ini pada tahun 2013 iaitu semasa APOC11 di Okinawa, Jepun dimana Kuching dipilih sebagai penganjur, saya yakin ianya akan memberi impak dan manfaat untuk Sarawak,” katanya.

APOC13, tambah Abang Johari, akan menjadi platform untuk membentuk kerjasama antarabangsa di dalam kajian dan pembangunan, pemuliharaan dan pengkomersialan bunga orkid di rantau Asia Pasifik.

Tambah beliau, Sarawak memiliki lebih 1,000 spesis orkid termasuk dua spesis yang dianggap unik iaitu Paphiopedilum Sanderianum dan Paphiopedilum Stonei.

Orkid yang dihasilkan di Malaysia memiliki kualiti yang tinggi dan dieskport ke negara Jepun, Eropah dan Australia.

Dengan penambahan pengeluaran, orkid Malaysia dijangka boleh menembusi pasaran negara lain seperti Amerika di masa akan datang. — DayakDaily

Advertisement