Gunaan saluran betul bagi berkongsi maklumat kerosakan rumah — HDC

Mohamad Asman Ahmad

KUCHING, 1 Feb: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) menasihati orang ramai supaya menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan ketidakpuasan hati atau berkongsi maklumat berhubung kerosakan rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Mohamad Asman Ahmad berkata, perkongsian seperti itu dikhuatiri mendatangkan kebimbangan serta penyaluran maklumat kurang tepat kepada orang awam.

“Setiap aduan kerosakan yang diterima menggunakan saluran yang betul akan diproses.

“Kami akan sentiasa berusaha untuk memberi maklum balas kepada aduan-aduan diterima, namun pada masa yang sama kami bertindak mengikut SOP yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas isu yang tular baru-baru ini di media sosial berkenaan gambar-gambar dan maklumat kerosakan melibatkan unit rumah di Blok 1A, Projek Pembangunan Darul Hana, Kuching.

Menurut Mohamad Asman, HDC ada menyediakan saluran aduan khas serta nombor telefon untuk dihubungi bagi sebarang aduan kerosakan melibatkan unit-unit rumah di Projek Pembangunan Darul Hana, Kuching.

Katanya, bagi memastikan keselamatan penduduk berada ditahap terbaik, pemantauan berterusan akan dilakukan.

Mengulas lanjut mengenai perkongsian gambar-gambar kerosakan unit rumah di Blok 1A yang tular, Mohamad Asman menjelaskan kerja-kerja baik pulih kini sedang giat dijalankan.

Bagi penduduk di Projek Pembangunan Darul Hana, Kuching yang ingin membuat aduan kerosakan, boleh menghubungi HDC ditalian 082-445-521. — DayakDaily